Jenayah Ada di Mana-mana?!

Dewasa ini kes-kes jenayah kian berleluasa. Semakin hari semakin kejam. Inilah yang menakutkan masyarakat kita hari ini. Pelbagai tajuk mengerikan sering terpampang di dada-dada akhbar. Tangan mangsa ragut putus ditetak, kanak-kanak diculik, malah dirogol, ada juga kes-kes bunuh yang tidak mengira jantina dan umur. Peragut, pembunuh, perogol malah penculik kini sudah bersikap seperti binatang. Tidak lagi mengambil kira usia malah semakin berani mencederakan mangsa serta membunuh tanpa perikemanusiaan.

Trauma! Trauma! Trauma! Apabila terjadinya kes-kes culik, ragut, rogol dan bunuh, kita sering merasa simpati pada si mangsa dan keluarganya serta gusar jika kita pula yang menjadi mangsanya. Namun, rasa simpati dan takut itu hanyalah sementara. Mengapa pula saya katakan perasaan kita itu hanyalah sementara? Kita hanya akan berasa simpati dan bimbang semasa terbaca artikel-artikel di dada-dada akhbar. Sejurus itu, apa inisiatif kita? Berita-berita ini hanya akan singgah sekejap di minda kita dan lenyap kemudiannya.

Pernahkah kita terfikir jika kita pula yang terperangkap di dalam situasi-situasi mengerikan ini? Pernahkah kita terfikir apa tindakan yang akan kita ambil sebelum menjadi mangsa pada keadaan-keadaan menggerunkan ini? Saya tidak rasa rakyat Malaysia kini pernah memikirkan perkara-perkara tersebut. Bukankah ada peribahasa Melayu yang menyebut sediakan payung sebelum hujan? Mungkin masyarakat kita masih belum memahami erti sebenar peribahasa itu.

Berita paling menggempar tahun lalu di mana kes adik Nurin Jazlin yang dibunuh dengan kejam membuka mata hampir semua rakyat Malaysia. Baru kita sedar, jenayah semakin berleluasa dan rakyat Malaysia sendiri semakin kejam. Kanak-kanak sekecil itu didera dan dibunuh tanpa belas kasihan. Terbaru, kes adik Sharlinie dan adik Asmawi yang hilang dan masih belum ditemui pula merisaukan seluruh rakyat Malaysia. Di mana letaknya perikemanusiaan kita? Masyarakat kita masih alpa, masih leka. Tidak terfikirkah ini adalah amaran supaya kita memenuhkan ilmu di dada sebelum terlambat?

Saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama belajar ilmu mempertahankan diri. Ilmu ini adalah sebagai persediaan untuk kita tempuhi hari-hari mendatang dan sebagai perisai jika terjadinya perkara-perkara tidak diingini ini. Mengapa tidak kita daftarkan diri kita, suami atau isteri, anak-anak kita dan juga ahli keluarga kita ke institusi-institusi yang menawarkan ilmu mempertahankan diri? Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati?

Ramai yang tidak menyedari kewujudan pusat-pusat seni mempertahankan diri yang kian bercambah dewasa ini. Saya terbaca artikel di sebuah akhbar berbahasa Inggeris beberapa bulan yang lalu. Akhbar tersebut membuat liputan tentang sebuah pusat yang menyediakan kursus jangka pendek bagi semua golongan masyarakat untuk tujuan mempertahankan diri. Bagi saya, kursus-kursus pertahanan diri yang ditawarkan di Kickstart Academy ini amat berguna untuk semua golongan khususnya wanita. Wanita sering menjadi mangsa ragut, rogol, culik dan bunuh kebelakangan in. Jadi sebagai persediaan menghadapi situasi-situasi tersebut, adalah bagus sekiranya kita mengambil inisiatif untuk mempelajari ilmu ini.

Kursus-kursus seni mempertahankan diri ini mengajar wanita dan sesiapa sahaja yang berminat bagaimana untuk menyelamatkan diri, melawan musuh di saat-saat genting serta bagaimana untuk mengatasi panik dan ketakutan. Kursus-kursus ini juga memberi pendekatan mudah dan taktik serta teknik yang betul untuk mengatasi lawan berbanding seni mempertahankan diri yang lain.

Saya ada membuat sedikit kajian di internet malah ke pusat itu sendiri yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Kebanyakan mereka yang mendaftar diri adalah golongan yang pernah menjadi mangsa kejadian ragut, rogol dan culik. Semangat mereka berkobar-kobar untuk menguasai ilmu ini setelah mengalami trauma yang teruk. Jika mereka yang sudah terkena atau menjadi mangsa boleh mendaftar, mengapa tidak kita? Adakah kita perlu menunggu sehingga terkena batang hidung kita sendiri baru hendak membuka langkah? Setelah menjadi mangsa baru kita hendak sedar bahawa nyawa kita di dalam bahaya?

Bagaimana jika mangsa seterusnya adalah ibu bapa, anak-anak, atau sanak saudara kita? Mahukah kita jika apa yang terjadi pada adik Nurin Jazlin, Nurul Huda dan yang terkini adik Sharlinie serta adik Asmawi terjadi pula pada diri kita atau orang yang kita sayangi? Rakyat Malaysia kini perlu disedarkan, benar seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Melayu mudah lupa. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membuka minda dan mengubah mentaliti masyarakat kita supaya kita sedar nyawa kita kini di hujung tanduk.

Bukan kerana ingin menjadi wira tetapi saya tidak sanggup lagi membaca atau mendengar kisah-kisah sedih dan mengerikan terjadi di dalam negara kita. Setelah negara kita sudah merdeka selama 50 tahun, alangkah bahagianya jika negara kita juga merdeka daripada jenayah-jenayah berat. Alangkah selesanya jika tiada lagi ancaman jenayah yang berleluasa. Marilah kita sama-sama berusaha mengubah mentaliti diri dan masyarakat supaya kita boleh bernafas dengan tenang semula, supaya kita boleh kembali tidur dengan lena. Nyawa kita tanggungjawab kita, bukan hak sesiapa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS